[Media] Angkatan Pemuzik Indie

Monday, December 26, 2011


Memang sudah lama menjadi impian Loque untuk menubuhkan sebuah supergroup yang dianggotai oleh bakat-bakat hebat dan pakar dalam muzik masing-masing.
Tanpa selindung, Loque mengakui niat itu sudah tertanam di lubuk hatinya ketika masih lagi menganggotai kumpulan Butterfingers yang telah membawa namanya ke mercu.

Namun, semuanya itu dipendamkan sahaja kerana dia mahu menumpukan fokus kepada muzik dan perjuangan Butterfingers yang sudah tertubuh hampir 15 tahun itu.

Sebaik sahaja Butterfingers mengumumkan ‘persaraan’ mereka, Loque tidak menunggu lama untuk meneruskan legasi seninya menerusi karakter baru ciptaannya, A.P.I.

Biarpun sibuk dengan jenama baru menerusi kumpulannya, Monoloque, namun untuk Loque, dia mahu memberikan santapan baru menerusi A.P.I yang telah meledak dengan lagu mereka, Pelita.

Menggabungkan bakat pemuzik handalan dari beberapa kumpulan indie ternama negara, Loque sememangnya cukup teruja dengan penubuhan A.P.I.

“Ini sesuatu yang sudah lama saya idamkan dan saya mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa industri seni tempatan sebenarnya mempunyai banyak bakat yang tanpa kita sedari.

“Sepanjang empat tahun saya ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Boston, Amerika Syarikat, saya sudah mengenal pasti mereka yang benar-benar layak untuk menganggotai supergroup ciptaan saya ini,” kata Loque membuka bicaranya pada sesi fotografi yang berlangsung di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Mereka yang dimaksudkan Loque ialah pemain drum kumpulan One Buck Short iaitu Imran; pemain gitar Estranged, Din Hormatov serta AJ yang merupakan pemain bass dari kumpulan Pop Shuvit.

Tidak dilupakan, A.P.I. turut didokong oleh Loque yang memegang pelbagai portfolio iaitu gitaris, pemain piano, penyanyi latar, komposer serta penulis lirik.

Tidak cukup dengan nama-nama hebat itu, A.P.I juga dikuatkan lagi dengan gabungan mantap dua vokalis iaitu Noh dari kumpulan Hujan dan Azlan & The Typewriter yang menjadikan A.P.I memiliki keunikan tersendiri.

Kesemua hadir pada sesi fotografi yang telah diaturkan itu kecuali Noh dan Azlan & The Typewriter yang mempunyai urusan peribadi yang tidak mampu dielakkan.

Ternyata percubaan pertama Loque menerusi A.P.I memang bukan satu kerja yang sia-sia apabila lagu Pelita bukan sahaja menjadi siulan ramai anak muda.

Tetapi juga menjadi salah sebuah daripada 14 buah lagu yang berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) yang akan berlangsung Ahad ini (9 Januari).

Sehingga ke hari ini, Loque bagaikan terapung di awangan dengan kemaraan lagu Pelita ke pertandingan lagu yang dianggap sebagai cukup berprestij itu.

“Mungkin kedengaran agak klise, tetapi, sebagai komposer dan penulis lirik lagu ini, saya memang tidak kisah tentang soal menang atau kalah.

“Sebaliknya, untuk tersenarai sebagai salah seorang finalis merupakan satu rahmat besar dan kejayaan terbaik buat saya serta anggota A.P.I yang lain.

“Adat pertandingan pasti akan ada menang dan kalah. Seandainya lagu Pelita dijulang sebagai juara, saya benar-benar bersyukur dan akan meneruskan projek A.P.I yang sudah berada dalam minda saya ketika ini,” katanya sambil menyimpul senyum penuh makna.

Bercerita ringkas tentang lagu Pelita, jelas Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Annuar semuanya bermula ketika Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) memintanya untuk mencipta lagu tema bagi filem Hooperz.

Ketika itu, Butterfingers baru sahaja membawa haluan masing-masing dan sudah tertulis rezeki berpihak kepada Loque untuk menggalas tanggungjawab itu.


Subjektif

Idea untuk mencipta lagu itu timbul pada ketika dia sibuk dengan pengajiannya di Kolej Muzik Berklee, Boston, Amerika Syarikat sekitar empat tahun lalu.

“Dalam tempoh itu, saya mencipta melodi dan liriknya tetapi merasakan seperti sesuatu yang tidak kena seandainya saya yang menyanyikannya sendiri.

“Lalu, apabila projek A.P.I muncul, pada ketika itulah saya fikir lagu Pelita ini layak untuk dipersembahkan oleh kami. Alhamdulillah, ia diterima dengan baik dan ia cukup menggembirakan saya sebagai komposer serta penulis liriknya,” cerita Loque yang berusia 32 tahun itu panjang lebar.

Saat diminta untuk menceritakan tentang keunikan lagu Pelita itu, jawapan Loque disulami dengan ketawa kecil.

Katanya, dia sendiri sukar untuk memberi jawapan kepada persoalan itu kerana baginya, kehebatan dan keistimewaan sesebuah lagu itu adalah subjektif.

Penilaian orang adalah berbeza dan bukan semua suka atau minat dengan lagu yang kita hasilkan. Kalau ditanya kepada saya, lagu Pelita merupakan sebuah lagu yang cukup ringkas tetapi pantas menangkap halwa telinga.

“Liriknya juga tidak kompleks dan rumit kerana jalan ceritanya cukup mudah difahami. Justeru, terpulang kepada individu itu sendiri untuk menilai karya itu daripada kaca mata mereka sendiri,” ujar Loque yang akan muncul dengan album pertama bersama Monoloque, Hikayat Halimunan Abad Ke-21 tidak berapa lama lagi.

Ketika diminta pandangannya terhadap AJL yang sudah memasuki usia suku abad, Loque memberitahu dia cukup kagum dengan penganjuran anugerah yang diwujudkan khusus untuk mengiktiraf komposer dan penulis lirik tempatan itu.

Pada hematnya, AJL telah memperlihatkan evolusi muzik yang sangat ketara dan apa yang dapat dilihat sekarang ini adalah kebangkitan anak-anak muda menerusi karya ciptaan mereka sendiri.

“Kalau diperhatikan, lagu-lagu ciptaan komposer terdahulu kebanyakannya dinyanyikan oleh penyanyi yang dipilih. Tetapi, sekarang kita sendiri dapat melihat transisi muzik tempatan apabila lagu itu dinyanyikan sendiri oleh komposer.

“Ia sekali gus memberikan gambaran yang cukup positif bahawa perkembangan industri muzik hari ini yang kian pesat membangun,” ujarnya sambil menitipkan pesanan buat komposer muda agar jangan sesekali meminggirkan aspek kualiti.

Seperkara yang cukup menarik perhatian dan barangkali menjadi tandatanya ramai peminat muzik tempatan adalah maksud di sebalik akronim A.P.I itu yang sehingga kini tidak pernah terjelas.

Ada yang beranggapan A.P.I membawa maksud Angkatan Pemuzik Indie dan ketika ditanya kebenaran di sebaliknya, Loque enggan mengulas lanjut.

“Pada awalnya, saya mahu menamakan kumpulan ini sebagai Gangga Negara agar ia kedengaran klasik tetapi apabila difikirkan maksudnya, saya rasa ia tidak sesuai.

“Lalu, nama A.P.I timbul dan saya tidak akan menjelaskan maksudnya kerana inilah strategi saya untuk A.P.I. Biarlah orang ramai membuat andaian sendiri dan sampai satu ketika, mereka akan tahu maksudnya nanti,” katanya lagi.

Sebagaimana artis dan komposer lain, Loque juga pernah memasang impian untuk beraksi di pentas AJL ketika menontonnya menerusi televisyen saban tahun.

Mengenai persembahan pada malam AJL25 nanti, Loque hanya memberitahu mereka akan tampil dengan sebuah persembahan menarik yang mampu memukau audiens kelak.


Dari kiri: Din Hormatov (Estranged), Loque (Butterfingers/Monoloque), Imran (One Buck Shot), Noh (Hujan), AJ (Pop Shuvit), Azlan (Azlan & The Typewriter)

A.P.I - Pelita




Tak pernah sesaat daku meragui
apa yang telah daku temui
selama ini
Tak pernah sesaat daku menyesali
apa yang telah aku nikmati
apa ku alami
selagi hayat di kandung badan

[Chorus]
Takkan ku menyerah kalah
walau mimpi ku musnah
harapan ku hancur
sayapku patah
kan ku pancarkan cahaya
seperti pelita
ke serata dunia
yang gelap gelita
sehingga hembusan nafas yang terakhir.

Tak pernah sesaat ku mencurigai
apa yg telah aku kecapi
setakat ini
Tiba saatnya kan ku tangisi
pada yang pergi takkan kembali
Kembali lagi
selagi hayat di kandung badan

[Chorus]
Takkan ku menyerah kalah
walau mimpi ku musnah
harapan ku hancur
sayapku patah
kan ku pancarkan cahaya
seperti pelita
ke serata dunia
yang gelap gelita
sehingga hembusan nafas yang terakhir.

Selagi jasadku belum terkubur
Selagi tubuhku, belum ditimpa uzur
pantang datuk nenek moyangku berundur
Takkan ku menyerah kalah,
walau mimpi ku musnah,
harapan ku hancur,
sayapku patah,
Akan ku pancar cahaya
seperti pelita
ke seluruh dunia
Akan ku pancar cahaya
seperti pelita
ke serata dunia
seperti cahaya

Sumber: Utusan Malaysia Online

No comments:

 
Copyright 2013 © Designed by Admin